Sunday 10 April 2011

kekuatan wanita

Jika kita mengkaji kisah-kisah para wanita di zaman Rasulullah s.a.w, kita akan dapati mereka adalah wanita-wanita Islam yang sangat hebat. Zaman Rasulullah s.a.w dikenali sebagai zaman generasi Quran yang unik.  Keunikan ini tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki Islam, bahkan di kalangan wanita Islam juga tertonjol  keperibadian yang cemerlang  yang sukar kita lihat pada kebanyakan wanita Islam pada hari ini. Apa uniknya pada mereka dan tidak pada kita? Mereka ini adalah wanita yang sangat berani menyatakan kebenaran, proaktif, pandai berhias dan melayani suami, sabar dan tenang, kuat tubuh badan, bijaksana, lantang menyatakan pandangan sesuai dengan masa dan ketikanya, mampu mengawal emosi, malu dan sebagainya.

Wanita sering dikaitkan dengan emosi dan perasaan. Bahkan ia adalah fitrah seorang wanita yang mana jika didorong oleh iman dan akal yang waras ia akan menjadi rasional. Sebaliknya jika didorong oleh nafsu, maka binasalah ia. Namun dunia hari ini penuh dengan cabaran dan tekanan hingga menjadikan wanita  sukar untuk mengawal emosi. Contohnya tekanan di tempat kerja dan anak meragam menjadikan kita rasa cepat marah dan kurang sabar terutamanya ketika penat dan sibuk. Mari kita lihat contoh seorang sahabiah yang mampu mengawal emosinya dalam berhadapan dengan ujian.
Secara ringkasnya, kisah Ummu Sulaim, seorang wanita yang amat teguh pendiriannya terhadap Islam. Ini dapat dilihat apabila suami pertamanya mengajak beliau kembali kepada agama yang asal dan beliau enggan berbuat demikian sehingga sanggup berpisah dengan suaminya. Setelah suaminya meninggal dunia, beliau telah dilamar oleh Abu Talhah yang mana pada ketika itu Abu Talhah belum memeluk Islam. Abu Talhah telah meminangnya dengan mahar emas dan perak. Lantas wanita hebat ini berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam. Sekiranya engkau terima, maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”. Akhirnya Abu Talhah bersetuju dan berkahwin dengan beliau.
Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau dikurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”.
Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, dia bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”.
Kemudian Ummu Sulaim dengan tenangnya berbicara, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.
***
Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu dalam menghadapi detik-detik kematian anaknya dan betapa bijaknya dalam menyampaikan khabar duka itu dengan menggunakan kaedah yang menarik. Begitu juga dengan kekentalan imannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya dan menukarkan emas dan perak dengan Islam sebagai maharnya.
Selain itu, kita dapati wanita-wanita Islam di zaman itu, hebat dalam menyuarakan pandangan mereka apabila seorang sahabiah bertanya Rasulullah s.a.w, tentang bagaimana mereka boleh mendapatkan pahala jihad sedangkan mereka tidak dibenarkan untuk keluar berjihad sepertimana kaum lelaki.
Satu lagi kisah menarik adalah seorang sahabiah Khaulah binti Tha’labah bertegas untuk mendapatkan haknya apabila beliau tidak mahu berganjak selagimana Rasulullah s.a.w tidak putuskan sesuatu dalam isu rumahtangganya iaitu zihar. Begitu juga Saidatina A’isyah r.a terkenal dengan kebijaksanaannya terutamanya dalam  meriwayatkan hadith dan mengajar kepada kaum muslimin
Begitu juga halnya dalam urusan jihad. Ketangkasan Khaulah Azwar telah menggemparkan angkatan muslimin dalam peperangan menentang bangsa Rom. Sekilas pandang sahaja, tiga musuh menyembah bumi. Khaulah ibarat singa lapar menerkam mangsa. Dalam perang Uhud pula, Nusaibah menjadi perisai Rasulullah s.a.w yang sanggup menjadikan tubuhnya sebagai sasaran musuh-musuh Allah. Kekentalan Sumayyah dalam mempertahankan imannya sehingga beliau memilih kesakitan di dunia berbanding keperitan neraka. Beliau terkenal dalam sejarah umat Islam sebagai wanita pertama yang syahid.
***
Setelah kita melihat beberapa contoh di atas, kehebatan mereka bukanlah disebabkan mereka ini memang semulajadi hebat semata-mata. Tetapi, kehebatan mereka ada faktor dorongan yang menjadikan mereka ini bertambah hebat. Faktor yang utama adalah keimanan yang mantap dalam jiwa mereka serta jati diri yang tinggi terhadap Islam sehingga terserlah kepada keperibadian mereka dalam kehidupan. Kita amat yakin bahawa akhlak seseorang itu samada mulia atau buruk adalah cerminan dan penzahiran kepada iman seseorang. Tujuan Rasulullah s.a.w diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah s.a.w
Hanyalah aku diutus (oleh Allah) untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad, lihat Ash Shahihah oleh Asy Syaikh al Bani no.45 dan beliau menshahihkannya).
Apabila iman yang mantap sebati dengan fitrah, kemampuan, dan tanggungjawab seorang wanita akan melahirkan wanita yang hebat dan cemerlang. Neraca dan nilaian seseorang itu hebat bukan disebabkan cemerlang dalam kerjayanya mendapat pangkat yang tertinggi, atau mempunyai harta yang banyak atau kata-katanya berjaya mempengaruhi ramai manusia atau cemerlang dalam mengurus rumahtangganya dan sebagainya. Tetapi selagimana ia tidak disulami dengan erti iman dalam apa jua niat, perkataan dan perlaksanaa, hakikatnya ia tidak bernilai dan hanya bersifat sementara walaupun pada pandangan manusia ia  hebat.


2 comments: