Sunday 21 August 2011

entry untuk karangan yang aku buat untuk asg~


“Pemansuhan UPSR dan PMR Asas Wahana Transformasi Pendidikan”
0leh: Nursafawati Binti Saupi
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk, Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.” (Al-Quran, Al-Alaq:1-4)
 Menyingkap rentetan kronolgi sejarah permulaan Islam, surah Al- Alaq merupakan wahyu pertama yang diberikan kepada Rasulullah SAW di gua Hiraq untuk menerangkan peri pentingnya ilmu dan pendidikan agar mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun. Namun persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk  merangka  sistem pendidikan mampu mendukung kepada penghasilan modal insan yang berpotensi dan seimbang dari aspek Jasmani, Rohani, Emosi dan Intelektual seperti yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan? Kini timbul pula satu lagi persoalan apabila cadangan pemansuhan peperiksaan awam dikatakan mampu mendukung penghasilan modal insan yang berkualiti. Timbalan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau masih meneliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut sebelum membuat keputusan yang muktamad. Walau bagaimanapun, pastinya timbul dibenak minda masyarakat tentang kemampuan pemansuhan UPSR dan PMR dalam menambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia dengan mengkaji segala pro dan kontra kepada kualiti pelajar yang dihasilkan sekiranya pemansuhan ini dilakukan.
Pertama sekali, haruslah dilihat dari aspek pengwujudan suasana yang menarik dan menyeronokkan di sekolah sekiranya sistem peperiksaan awam ini dimansuhkan. Pelajar di sekolah bolehlah diklasifikasikan sebagai kanak-kanak yang berumur tujuh hingga dua belas tahun untuk pelajar sekolah rendah dan remaja yang berumur tiga belas tahun hingga tujuh belas tahun bagi pelajar sekolah menengah. Jika sekolah terlalu menekankan aspek akedemik, secara tidak lansung akan mewujudkan suasana yang tidak menarik kerana memberi tekanan kepada pelajar untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Jadi para pelajar yang sedang dibaluti jiwa keremajaan dan keanakkan ini akan merasakan bahawa sekolah merupakan tempat yang membosankan dan terlalu memberi tekanan kepada jiwa mereka. Inilah yang menjadi punca sukarnya untuk melahirkan remaja mampu untuk menjadi modal insan yang berguna kepada negara Malaysia. Ketidakmampuan sekolah untuk menarik perhatian pelajar turut menyumbang kepada faktor gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak di pusat membeli belah dan banyak lagi. Dengan ini, pemansuhan UPSR dan PMR mampu melahirkan suasana yang lebih ceria dan menyeronokkan kepada pelajar.
Pemansuhan peperiksaan awam juga boleh menjadi pemangkin kepada kesedaran kepentingan terhadap semua matapelajaran yang diajar di sekolah. Menyingkap senario di sekolah dasawarsa ini, matapelajaran yang tidak dimasukkan dalam peperiksaan awam seperti Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan serta  Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dianggap sebagai tidak penting. Pendedahan kepada subjek tambahan ini sangat tidak ditekankan oleh guru dan hanya diajar secara sambil lewa bak kata pepatah bagai melepas batuk ditangga. Kadang-kala mata pelajaran yang tidak dimasukkan dalam peperiksaan awam ini tidak diajar sama sekali sebaliknya dijadikan sebagai masa untuk mengajar mata pelajaran yang akan diuji dalam peperiksaan awam nanti. Kurangnya penekanan kepada matapelajaran seperti Pendidkan Jasmani dan kesihatan akan mengurangkan kesedaran pelajar peri pentingnya penjagaan tubuh badah yang sihat dan cerdas disamping para pelajar tidak dapat mempamerkan bakat sukan yang ada pada mereka. Impak kepada kurangnya pendedahan matapelajaran sivik dan kewarganegaraan pula ialah akan melahirkan masyarakat terutamanya remaja yang tidak mempunyai semangat patriotisme dan asas nilai murni dalam kehidupan harian. Oleh itu, pemansuhan peperiksaaan awam ini secara tidak lansung akan memberi kesedaran kepada semua aspek masyarakat tentang kepentingan subjek sampingan ini.
Selain daripada itu, pemansuhan UPSR dan PMR akan melahirkan pelajar yang menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba ilmu pengetahuan secara realistik. Menyingkap tirai cara penyampaian ilmu sekarang, pelajar ibarat anak burung yang diberi makan oleh ibunya. Hal ini kerana, para pelajar tidak diberi peluang bagi mengasuh mindanya untuk berfikir kerana mereka beranggapan segala ilmu sumbernya hanya datang dari guru sahaja. Jadi kerana itulah lahirnya pelajar yang hanya menghafal teori dan konseptual tanpa memahami dan menghayati ilmu yang mereka perolehi. Para pelajar juga jarang melakukan interaktif antara satu sama lain kerana hanya tahu menghadap buku dan menghafal segala fakta mahupun rumus dengan target untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam akedemik. Jika kita merenung pepatah cina yang mengatakan “Jika berikan mereka ikan, mereka hanya hidup untuk satu hari, tetapi ajarkan mereka bagaimana menangkap ikan, maka mereka akan hidup selama-lamanya”. Maksudnya guru haruslah mengajar pelajar tentang kemahiran untuk mendapatkan ilmu dan pelajar sendiri yang akan menggunakan kekreatifan mereka, samada berbentuk interaktif dengan rakan-rakan ataupun pengaplikasian ilmu di dalam kehidupan seharian. Tuntasnya, pemansuhan peperiksaan awam ini akan melahirkan pelajar yang lebih menghayati ilmu yang diperolehi.  
Seterusnya pemansuhan UPSR dan PMR sebagai persedian untuk melahirkan modal insan yang memenuhi kriteria dunia pasaran pekerjaan. Seiring dengan kepesatan negara sekarang, golongan cerdik pandai lahir ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Disebabkan ini, tercetusnya longgokkan pelajar IPTA yang  mengangur ekoran pasaran pekerjaan sekarang yang mementingkan kemampuan pelajar mengaplikasikan kemahiran yang mereka pelajari berbanding dengan kemampuan pelajar menghafal teori yang terdapat dalam buku. Sekeping ijazah hanya dipandang ibarat sekeping kertas pengikirafan yang hanya memenuhi kelayakan untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan. Oleh itu para pelajar hendaklah diajar dengan kaedah pengaplikasian berbanding kaedah menghafal fakta untuk menjawab soalan. Kemahiran yang diterapkan dari bangku sekolah akan memantapkan swadaya serta jati diri pelajar untuk menghadapi cabaran masa depan yang kian mencabar. Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah oleh itu, para pelajar hendaklah dilatih agar mengamalkan serta mngaplikasikan ilmu yang mereka perolehi dalam kehidupan sebenar supaya mereka lebih memahami teori dan konsep untuk mengaplikasian ilmu di dunia nyata. Selain itu juga, persepsi pelajar terhadap kegunaan ilmu juga dapat diubah iaitu menjelaskan kepada mereka bahawa mempelajari ilmu bukannya sekadar untuk menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam ini. Dengan ini pemansuhan UPSR dan PMR mampu membentuk modal insan yang lebih berkualiti dan menepati citarasa pasaran pekerjaan sekarang.
Pemansuhan UPSR dan PMR juga memangkinkan generatif modal insan yang peka kepada kepentingan Kokurikulum di sekolah. Merujuk kepada syarat kemasukkan pelajar ke IPTA sekarang dimana sepuluh peratus adalah dinilai dari aspek kokurikulum. Sudah terang lagikan bersuluh betapa kerajaan Malaysia amat menekankan nilai kepentingan aspek kecemerlangan kokurikulum pelajar. Namun begitu sejauh manakah syarat kemasukan IPTA ini mampu mengubah minda masyarakat bahawasanya kokurikulum memainkan peranan penting sejajar dengan akademik? Adakah pelajar hanya mengamalkan pepatah bagai pahat dengan penukul iaitu melakukan kegiatan kokurikulum hanya kerana mereka “diminta” untuk melakukannya bagi memenuhi kriteria kemasukan pelajar ke IPTA. Hal ini kerana pelajar sering merasakan bahawa kegiatan kokurikulum adalah tidak penting dan hanya membazir masa yang seharusnya digunakan untuk menelaah buku. Jika ditanya kepada ibu bapa diluar sana, adakah mereka lebih memilih anak yang cemerlang akedemik atau cemerlang kokurikulumnya? Disebabkan itu pelajar lebih rela menghadap buku dirumah demi mandapat pengiktirafan daripada masyarakat. Intiharnya, jika UPSR dan PMR dimansuhkan masyarakat akan lebih melihat kepentingan kegiatan kokurikulum kepada pelajar.
Walaupun pemansuhan UPSR dan PMR ini banyak membawa kebaikan namun pihak Kementerian Pelajaran haruslah menimbang berat setiap aspek dan memikirkan jalan penyelesaian terhadap semua impak yang mungkin berlaku terutamanya dari aspek jenis penilaian yang akan diberikan kepada pelajar untuk menilai perkembangan potensi mereka. Hal ini demikian kerana sejak dahulu lagi peperiksaan awam ini dijadikan kayu ukur dalam pencapaian pelajar. Kekhuatiran masyarakat yang gusar anak-anak akan kehilangan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh haruslah  dipandang berat oleh pihak kerajaan. Walaupun ada ura-ura yang menyatakan bahawa peperiksaan awam ini akan digantikan dengan penilaian peringkat sekolah, ketulusan dalam menilai prestasi pelajar amatlah diragui oleh masyrakat kerana soalan yang diberikan kepada pelajar  akan disediakan dan disemak oleh guru di sekolah pelajar itu menuntut ilmu. Jadi setakat mana kualiti soalan yang dihasilkan? Adakah mampu untuk menguji minda pelajar, atau soalan dibuat sekadar untuk memastikan pelajar memenuhi objektif yang dinginkan. Secara tidak lansung ini akan mengurangkan persaingan sihat dalam setiap diri pelajar, guru-guru mahupun setiap sekolah. Selain daripada itu, kerajaan juga harus menjawab bagaimana dengan lambakan buku rujukan PMR dan UPSR di pasaran? Pihak industri mengatakan pemansuhan peperiksaan awam boleh merugikan sebuah institusi pencetakkan kerana tiada yang mahu membeli buku rujukan yang sedang dijual dipasaran. Siapa  pula yang membela nasib penulis buku rujukan?. Oleh itu, kerajaan haruslah memikirkan cara untuk mengatasi segala impak yang akan menjadi penghalan kepada proses transformasi ini.
Konklusinya, pemansuhan UPSR dan PMR ini mampu menjadi satu wahana untuk memangkin proses transformasi pendidikan negara dalam menghasilkan modal insan yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sekiranya setiap aspek dikaji dengan teliti terutamanya dari segi impak yang akan terjadi jika pemansuhan ini dilaksanakan. Merujuk kepada falsafah Ibnu Mas’ud “Tidak seorang pun yang dilahirkan berilmu, kerana ilmu itu diperolehi dengan belajar. Jadi manusia perlu sentiasa belajar”. Disini dapatlah dilihat bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam proses memperolehi ilmu dan disebabkan itu, perangkaan pendidikan yang baik haruslah dilakukan agar proses penghasilan modal insan yang cemerlang dapat dimakbulkan. Pemansuhan UPSR dan PMR ini mampu dijadikan titik permulaan yang baik dalam merangka sebuah transformasi pendidikan yang berkesan agar penghasilan mutu insan berkualiti untuk negara dalam mencapai misi kudsi wawasan 2020 sekiranya kerajaan mampu melakar sebuah pendidikan yang mementingkan kualiti pelajar yang dihasilkan. Sabda Rasulullah SAW “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”. Melihat kepada hadis ini, pendidikan haruslah menekankan aspek kepentingan akhlak yang mulia kerana ilmu haruslah dijadikan saluran untuk menerap nilai murni ke dalam diri pelajar supaya mereka mengaplikasikan ilmu yang ada pada mereka ke arah kebaikan. Oleh itu, Malaysia haruslah merangka pelaksanaan sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar yang seimbang dari segala aspek serta dilengkapi dengan bekalan nilai murni yang mencukupi.
p/s benda ni buat aku tensen beberapa minggu nih:)
















No comments:

Post a Comment